Wednesday, April 22, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم
Hari-hari kewafatan orang soleh yang cintakan akhirat
Abdullah Bin Abbas

Di antara sahabat yang terkenal sebagai ulama’ dan pakar dalam bidang Al-Quran samada bacaannya mahupun tafsirannya. Beliau digelar sebagai Turjumanul Quran yang bermaksud penterjemah Al-Quran. Juga mendapat gelaran sebagai Habrul Ummah yang bermaksud tinta ummah yang merujuk kepada kealiman beliau. Umar Al-Khattab berkata tentang kelebihan Ibnul Abbas: “Sesungguhnya dia adalah pemuda yang matang, mempunyai lidah yang sentiasa bertanya, dan hati yang berakal (pintar)”.
Apabila Khalifah pada ketika itu yang bernama Muawiyah Bin Abu Sufyan memunaikan Haji, beliau diiringi dengan satu rombongan yang besar yang terdiri daripada menteri-menteri dan pegawai-pegawainya serta bala tenteranya yang ramai. Pada masa yang sama Ibnu Abbas juga menunaikan haji sebagai seorang ulama’. Jumlah manusia yang mengiringnya jauh lebih ramai berbanding dengan Khalifah, yang menunjukkan betapa Allah S.W.T. mengangkat orang-orang yang berilmu di sisinya. Maka benarlah firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat.
Pada hari kewafatannya usianya 71 tahun, beliau telah disolatkan oleh Muhammad Bin Hanafiah. Ketika jenazahnya yang mulia dikebumikan kedengaran suara yang mendendangkan bacaan Al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -"Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "



Anas Bin Malik
Apabila Anas Bin Malik berada dalam keadaan gering beliau berkata kepada keluarganya, : Ajarkan aku untuk menyebut لا إله إلا الله، محمد رسول الله . Beliau terus menyebutnya sehingga meninggal dunia. Beliau telah mewasiatkan supaya ditanam bersamanya tongkat kecil kepunyaan Rasulullah S.A.W. yang dihadiah kepadanya.


At-Tufail Bin Amri Ad-Dausi

Ketika At-Tufail Bin Amri Ad-Dausi menyertai peperangan Al-Yamamah menentang golongan murtad yang dipimpin oleh Musailamatu Al-Kazzab di bumi Yaman bersama-sama dengan anaknya, beliau telah bermimpi pada satu malam. Beliau telah menceritakan mimpi tersebut kepada sahabat-sahabatnya dengan berkata: “Aku telah bermimpi semalam, tolong takbirkan mimpi ku itu”. Kata sahabat-sahabatnya: “Apa yang kamu lihat”? Jawab At-Tufail “Aku melihat rambutku dicukur, dan seekor burung keluar dari mulutku, maka datang seorang perempuan lalu dia memasukkan aku ke dalam perutnya, manakala anakku mencariku segenap tempat, tiada dia menjumpaiku kerana terhalang untuk melihatku”. Kata sahabat-sahabatnya: “Mudah-mudahan mimpi yang baik”. Dia berkata: “Aku mengetahui takbirnya. Adapun rambut yang dicukur bermakna aku akan terbunuh dalam peperangan ini, manakala burung yang keluar dari mulutku bererti ruhku, perempuan yang memasukkan aku ke dalam perutnya adalah lubang kubur yang digalikan untukku. Aku amat berharap mendapat syahid. Adapun anakku yang mencariku bererti beliau juga ingin mendapat kelebihan sepertiku tetapi hanya memperolehinya selepas kematianku”.
Mimpi yang ditakwilkan itu memang benar terjadi kepada At-Tufail Bin Amri Ad-Dausi dan anaknya.

Abu Ayyub Al-Ansari
Nama sebenar beliau ialah Khalid Bin Zaid An-Najjari. Sahabat Rasulullah yang diberi kemulian hidup dalam perjuangan menegakkan agama Allah dan mati padanya. Seorang yang sentiasa memburu syahid walaupun di saat usia yang uzur. Ketika usia beliau hampir 80 tahun, beliau mendapat tahu bahawa Khalifah telah berhasrat untuk menawan kota Kontantinople, ibu negara tentera Rom timur. Tentera Islam di bawah pimpinan Yazid Bin Muawiyah R.A. Beliau turut serta dalam peperangan tersebut yang merupakan peperangan terakhir beliau sebelum menemui Allah Rabbu Izzati. Hasratnya untuk meruntuhkan kota tersebut tidak terhasil apabila beliau sakit di tengah perjalanan menuju ke negeri musuh. Lalu ketua tentera Islam, Yazid datang menziarahi beliau sambil bertanya akan permintaannya yang terakhir. Beliau lantas menjawab: “Sampaikan salam kepada semua tentera Islam yang menyertai peperangan ini dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub mewasiatkan kamu supaya terus mara ke bumi musuh sejauh-jauhnya, dan bawalah mayatku bersama-sama, dan tanam aku di sisi tembok Kontantinople..” Beliau seterusnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Amru Bin Al-Jamuh

Beliau memeluk Islam ketika usianya 60 tahun bersama-sama dengan isterinya yang bernama Hindun dan ketiga-tiga anaknya yang bernama Muawwaz, Muaz dan Khallad R.A. ketika berlakunya peperangan Uhud, beliau telah bersiap-siap untuk keluar berperang bagi meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Hasrat beliau untuk berperang dihalang oleh anak-anaknya atas alasan biar tidak diwajibkan berperang kerana usianya yang tua ditambah lagi dengan kecacatan fizikalnya iaitu ketempangan yang serius pada salah satu kakinya sehingga sukar baginya untuk berjalan. Beliau amat marah atas tindakan anak-anaknya itu yang menyekatnya untuk sama-sama menyertai peperangan yang penting itu. Lantas beliau bertemu dengan Rasulullah S.A.W mengadu pada baginda dengan berkata: “Wahai Nabi Allah! Sesungguhnya anak-anakku menghalangku daripada mendapat kebaikan ini dengan memberi alasan bahawa bahawa kakiku tempang. Demi Allah! Aku amat mengharapkan syurga dengan kakiku yang tempang ini”. Rasulullah S.A.W berkata kepada anak-anak Amru, “ Biarkan ayahmu, semoga Allah memberi kesyahidan kepadanya”. Beliau amat terharu dengan keizinan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W.
Apabila sampai waktu tentera Islam keluar ke medan jihad, Amru mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya yang tercinta seolah-olah dia tidak akan kembali lagi. Sesudah itu dia menghadap ke arah kiblat sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya dengan berdoa, “Ya Allah! Kurniakan kepadaku syahid, jangan engkau kembalikan aku kepada keluargaku dengan sia-sia”.
Ketika perang sedang berkecamuk beliau menjerit dengan suara yang lantang, “Aku rindukan syurga, aku rindukan syurga…” di belakangnya anaknya Khallad. Kedua-duanya berperang dengan bersungguh-sungguh akhir Allah mengurniakan kepadanya mati syahid.

Abu Ubaidah Bin Aj-Jarrah
Digelar sebagai orang yang amanah bagi umat Islam. Gelaran yang mulia ini diperolehinya daripada Rasulullah S.A.W. Beliau telah ditimpa penyakit taun yang melanda bumi Syam (syria) yang membawa kepada kematiannya. Beliau telah meninggalkan wasiat kepada tentera-tenteranya. Katanya: “ Sesungguhnya aku mewasiatkan kamu dengan satu wasiat, sekiranya kamu menerimanya sentiasalah kamu berada dalam kebaikan: Dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan, banyakkan bersedekah, laksanakan ibadat haji dan umrah, sentiasalah kamu berpesan-pesan antara satu sama lain, nasihatlah pemimpin-pemimin kamu jangan kamu menipu mereka…dan jangan kamu dilalaikan dengan dunia, sesungguh manusia sekira dipanjangkan usianya hingga ke seribu tahun sekalipun tetap akan menemui kematian sebagaimana yang menimpa aku hari ini. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian atas semua keturunan anak Adam, mereka semua akan mati, orang yang paling pandai yang paling taat kepada Allah, yang mengetahui akan hari kembalinya kepada Allah. والسلام عليكم ورحمة الله
Kemudian beliau berpaling kepada Muaz bin Jabal seraya berkata: “Wahai Muaz! Gantikan aku menjadi Imam kepada orang ramai”. Ketika detik itu, terbang bebaslah rohnya yang suci menemui kekasihnya, Tuhan yang maha pengasih.

Abdullah Bin Mas’ud R.A

Beliau adalah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang mempunyai kelebihan pada bacaan Quran dan seorang ulama’ dikalangan sahabat. Beliau pernah berkata: “Demi Allah yang tiada tuhan selainnya, semua ayat Al-Quran yang turun aku mengetahui di mana ianya diturunkan dan kenapa ianya diturunkan. Sekiranya aku mengetahui ada orang yang lebih mengetahuinya lebih daripadaku nescaya akanku pergi menemuinya.
Apabila tiba hari kewafatannya, beliau telah diziarahi oleh Khalifah Usman Bin Affan R.A.
Usman bertanya kepadanya: “Apa yang kamu fikirkan sekarang?”
Jawab Abdullah: “Dosa-dosaku!
Usman bertanya: “Apa yang kamu harapkan?”
Jawab Abdullah: “Rahmat Tuhanku!”
Usman berkata lagi: “Inginkah kamu aku berikan kembali segala pemberian yang engkau tolak selama ini?”
Jawab beliau: “Aku tiada berhajat lagi dengannya”.
Usman berkata: “Ambil dan berikan sahaja kepada anak-anak perempuanmu”.
Beliau menjawab: “Aku tidak takut anakku fakir kerana aku telah mengajarnya membaca surah Al-Waqiah(الواقعة) setiap malam kerana aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah setiap malam, tiada dia ditimpa dengan kefakiran selama-lamanya.
Apabila malam menjelang, lidahnya sentiasa basah dengan berzikir kepada Allah, suaranya yang lunak yang bergema dengan bacaan Al-Quran, ketika itulah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

renungkan kisah mereka. Semoga ada hidayah yang terselit dicelah-celah kemurnian hidup dan mati mereka..

Selamat berkenalan


Assalamualaikum..Alhamdulilah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan pembawa risalah Islam, pemberi peringatan dan pembawa berita gembira, menyeru manusia ke jalan Allah sepanjang zaman..Selawat dan salam buat keluarga junjungan dan para sahabat dan sekalian pejuang.
Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 24:

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan Yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah Dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis Yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) Dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna Dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan Yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka Bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya Dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan Dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum Yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

Hakikat hidup di atas dunia adalah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah S.W.T. walaupun indah ianya pasti akan binasa dan musnah..Allah menjadikan dunia ini bukan untuk dihuni tetapi untuk beramal dan menyiapkan diri ke alam abadi.
Saya ingin berkongsi dengan rakan pembaca untuk sama memahami hakikat dunia yang fana ini..semoga Allah akan membuka hati kita untuk beramal di dunia ini sebagai bekalan yang perjalanan yang jauh..Amin